Dah lama tak menulis blog. Setelah membaca artikel yang terbaru ni (entah dari mana sumbernya, sebab dah lama save suatu masa dulu), rasa terpanggil untuk kongsikan bersama kawan-kawan yang lain. Banyak manfaat yang boleh diperoleh jika difahami setiap maksud yang ditulis oleh penulis. Minta maaf tak dapat nak kredit penulisnya yang sebenar.. Apapun, penulisan beliau memang terbaik bagi pandangan Blurpl3.
*****************
Jika hendak dikirakan ’beriman’ dengan Allah, iblis
laknatullah sepatutnya lebih tinggi imannya kepada Allah. Masakan tidak, dia pernah berdialog dengan Allah
(dialog yang telah dirakamkan dalam Al Quran). Dia percaya kepada syurga dan
neraka. Bukan sahaja percaya bahkan telah melihatnya. Syaitan yakin tentang
adanya Hari Pembalasan.. Hendak diukur dari segi ibadah, ya ibadah iblis
begitu hebat. Puluhan ribu tahun sujud, rukuk dan membesarkan Allah hingga
terlantik sebagai ketua malaikat. Cuma satu… syaitan kecundang kerana tidak
dapat menerima takdir Allah.
Takdir yang menentukan Adam dipilih
menjadi Khalifah dan dia diperintahkan sujud lambang hormat kepada Allah dalam
mentaati Allah. Syaitan tidak boleh menerima takdir ini.. Mengapa dia yang
dijadikan daripada api (sedangkan Adam hanya daripada tanah), mengapa dia yang
lebih ’senior’ dalam ibadah dan hirarki kepimpinan tidak terpilih menjadi
khalifah, sedangkan Adam hanya ’pendatang’ baru yang diciptakan terkemudian?
Iblis sombong kerana tidak menerima
ketentuan takdir. Dan dia terhina kerana itu. Lalu kita siapa yang mampu
menidak dan meminggirkan takdir? Allah, itu Maha Besar, qudrat dan iradatnya
tidak akan mampu kita nafikan. Jika cuba menafikan,
kita akan terhina… seperti terhina iblis. Dilaknat dan dimasukkan ke neraka…
kerana gugur sifat kehambaannya!
Dalam episod hidup, takdir datang menguji kita. Mengapa aku
mendapat suami yang begini? Mengapa isteriku tidak sebegitu? Kenapa ketua ku
orang semacam dia? Kenapa anak ku cacat? Mengapa isteri tersayang ku pergi
dulu? Kenapa aku tidak kaya-kaya lagi walaupun telah berusaha. Bila masalah
melanda kita merasakan kitalah yang paling menderita. Mengapa aku yang tertimpa
nasib begini? Mulut berbicara mengaku Allah itu Tuhan kita tetapi mengapa
kehendak-Nya kita tidak rela? Benarnya, masalah, ujian dan cabaran dalam hidup
itu sangat berkaitan dengan iman.
Iman iblis hancur berderai bila diuji dengan takdir. Ego
terpendamnya selama ini terserlah. Terbakar hangus seluruh ibadah yang
dibinanya ribuan tahun. Aduh, bagaimana pula kita yang iman hanya setipis kulit
bawang dan ibadah yang hanya sekelumit ini? Pujuklah hati, terima takdir itu
dengan rela. Katakan, ya Allah… sungguh sakit, sungguh perit, tapi apakan
daya, aku hambaMu, Kau lebih tahu apa yang terbaik untukku berbanding diriku
sendiri. Ya Allah, jangan Kau
serahkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata. Tadbirku seluruh dan
sepenuh sujud pada takdir MU.
Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir
daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari kita hamba-Nya. Kekadang takdir dan
tadbir selari, maka terjadilah apa yang kita inginkan terjadi. Namun acapkali
takdir dan tadbir bersalahan, maka terjadilah apa yang kita tidak inginkan.
Kita ingin putih, hitam pula yang menjelama. Kita dambakan kejayaan, kegagalan
pula yang menimpa. Ketika itu hati akan bertanya, apa lagi yang tidak kena?
Semuanya telah kutadbirkan, tetapi kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah
bunga-bunga ‘pemberontakan’ dari dalam diri hamba yang kerdil berdepan dengan
Tuhan yang Perkasa. Samada disedari atau tanpa
disedari…
Takdir daripada Allah mengandungi banyak hikmah. Ia mengandungi mehnah (didikan langsung dari
Allah) yang kekadang tersembunyi daripada pengamatan fikiran biasa. Ilmu
semata-mata tanpa iman yang kuat, akan menyebabkan kita terkapai-kapai dalam
ujian hidup tanpa pedoman yang tepat. Justeru, dengan akal semata-mata kita
tidak akan dapat meringankan perasaan pada perkara-perkara yang
tidak sejalan dengan diri dan kehendak kita. Mengapa terjadi begini? Sedangkan
aku telah berusaha?
Untuk mengelakkan hal itu terjadi maka
kita mesti berusaha mencari-cari hikmah-hikmah yang terkandung dalam ketentuan
(takdir) Tuhan. Ya, hanya manusia yang sempurna akal (ilmu) dan hati
(iman) sahaja dapat menjangkau hikmah yang terkandung di dalam cubaan dan
bala yang menimpa durinya. Kata orang, hanya jauhari mengenal manikam.
Orang yang begini akan menjangkau hikmah
di sebalik takdir. Dapat melihat sesuatu yang lebih tersirat di sebalik yang
tersurat. Ya, mereka tidak akan beranggapan bahawa sifat lemah-lembut Allah
lekang daripada segala bentuk takdir-Nya – samada yang kelihatan positif atau
negatif pada pandangan manusia. Ertinya, mereka merasai
bahawa apa jua takdir Allah adalah bermaksud baik. Jika sebaliknya, mereka
merasakan bahawa Tuhan bermasud jahat dalam takdir-Nya, maka itu petanda
penglihatan hati tidak jauh, dan akalnya pendek.
Mengapa terjadi demikian? Sebab iman belum mantap,
keyakinan masih lemah dan tidak kenal Allah dalam ertikata yang sebenarnya.
Bila ketiga-tiga faktor itu sempurna, maka barulah seseorang itu mampu melihat
bahawa di dalam cubaan dan bala yang ditakdirkan mengandungi hikmah-hikmah yang
baik. Hanya dengan itu, seseorang itu akan merasa senang dan bahagia dalam menghadapi
sebarang ujian dalam hidupnya.
Bagaimana kita dapat meringankan beban hati ketika
menghadapi ujian hidup? Ya, hanya pertalian hati seorang hamba dengan Allah
sahaja yang menyebakan ringannya ujian dan cubaan. Hati yang disinar dengan
cahaya Allah dan cahaya sifat-sifat-Nya akan berhubung dengan Allah. Untuk
meringankan kepedihan balayang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang
menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan
memberikan yang terbaik.
Bila kita kenal Allah Maha Pengasih dan Penyayang, kita tak
boleh buruk sangka kepada Allah dengan menganggap apa yang ditakdirkan (ujian)
itu adalah sesuatu yang tidak baik. Iktikad (yakin) kita semua ketentuan Allah
itu adalah baik – ujian itu pasti ada muslihat yang tersembunyi untuk manusia,
akan menyebabkan hati terubat. Walaupun pahit, ditelan jua. Sematkan di hati
bahawa pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik tapi kita tidak atau belum
mengetahuinya. Bila terjadi nanti, barulah kita tahu.
Katalah kita ditimpa penyakit atau kegagalan… itu mungkin
pada hakikatnya baik pada suatu waktu nanti. Betapa ramai, mereka yang sakit,
tetapi akhirnya mendapat pengajaran yang besar di sebalik kesakitannya.
Contohnya, apa yang berlaku kepada Cat Steven… yang sakitnya itulah yang
menyebabkan beliau mendapat hidayah dan akhirnya memeluk Islam? Dan betapa
ramai pula yang gagal pada mulanya tetapi dengan kegagalan itu bangkit jiwa
juang yang lebih kental yang akhirnya membuah kejayaan? Hingga dengan itu
masyhurlah kata-kata bahawa kegagalan itu hakikatnya adalah kejayaan yang
ditangguhkan!
Para ahli hikmah (bijaksana) merumuskan bahawa, antara
hikmah ujian ialah, hati akan lebih tumpuan kepada Allah. Dengan ujian, seseorang akan dapat menambah
tumpuan dan penghadapannya kepada Allah. Sebab bala dan ujian bertentangan
dengan kehendak, keinginan dan syahwat manusia, seperti sakit, rugi, miskin dan
lain-lain. Dengan ini nafsu akan terdesak, tidak senang dan ingin lepas
daripada ujian. Bila nafsu terdesak, ia akan terdidik secara langsung. Ia akan
tertekan dan menjadi jinak. Hakikat ini akan membuka pintu rahmat Allah kerana
nafsu yang liar sangat mengajak kepada kejahatan. Bila nafsu hilang kekuatannya
maka manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa dan maksiat dengan mudah.
Hati, tidak dapat tidak mesti bersabar.
Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana yakin Qada dan Qadar Allah
pasti berlaku. kerana manusia harus terima, tidak boleh menolak ujian itu.
Hamba yang soleh menanggung Qadar dengan sabar (bahkan) gembira dengan pilihan
Allah. (Ujian adalah pilihan Allah bukan pilihan manusia). Tidak ada pilihan
Allah yang tidak baik. Semuanya baik belaka.Hakikat ini akan menyebabkan kita
akan lebih mendekat kepada agama. Hikmah ini walaupun sebesar atom tetapi bila
melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar
gunung. Justeru, bila hati baik semua anggota badan menjadi baik. Inilah yang
ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:“…Dan boleh jadi kamu menyukai
sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan
kamu tidak tahu.” Surah Al Baqarah : 216
Sesungguhnya, dalam ujian Allah terselit nikmat-Nya.
Mungkin kita tertanya-tanya apakah nikmatnya bila sakit, miskin, gagal, dihina
dan sebagainya? Hendaklah kita faham bahawa nikmat di sisi Allah itu
terbahagi dua. Pertama, nikmat lahir. Dan kedua, nikmat batin (rohaniah).
Nikmat lahiriah ialah sihat, selamat dan kebaikan fizikal yang lain. Manakala
nikmat batiniah ialah nilai-nilai keimanan, keyakinan dan kesabaran. Dengan ujian
kesusahan misalnya, barulah terbina sifat sabar. Dan sabar itu adalah separuh
daripada keimanan.
Ujian juga akan menghapuskan dosa dan
kesalahan seseorang terhadap Allah. Nabi Isa pernah berkata, ”belum dikatakan
seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke
atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.” Bila kita benci
dengan ujian, ertinya belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara
(kaedah) Allah mengampunkan dosa kita. Bila kita gembira (terima dengan baik)
ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga adalah Allah.
Jadi, apabila kita ditimpa ujian maka
berusaha dan berikhtiarlah untuk menangani ujian itu tetapi jangan sesekali
lupa mencungkil hikmahnya. Oleh yang demikian, apabila diuji, terimalah dengan
baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak
ada hikmahnya. Ingatlah, bahawa orang soleh itu bila diuji, hikmah-hikmah ujian
akan mendekatkan mereka kepada Allah.
Jangan sesekali kita menjadi orang yang
rugi yakni mereka yang buta daripada melihat hikmah justeru akal dan hati hanya
melihat sesuatu yang selari dengan hawa nafsunya sahaja. Ingatan para hamba
yang soleh kepada Allah akan bertambah dengan ujian-ujianNya. Mereka merasakan
ujian itu satu petanda yang Allah telah memilih mereka. Mereka sentiasa berbaik
sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) bahawa setiap yang berlaku
samada pahit atau manis pasti ada hikmahnya. Mereka tidak melihat hanya ’asbab’
(sebab-sebab) tetapi matahati mereka dapat menjangkau ’musabbabil asbab’
(Penyebab – Tuhan).
Hati mereka berkata:”Inilah hakikat hidup
yang dipilih Allah untukku. Aku akan terus berbaik sangka kepada Allah… DIA
akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik ujian ini. Ya, aku
tidak tahu, kerana ilmuku terbatas. Tetapi kerana Allah yang Maha Penyayang
telah memilih ujian ini untuk diriku maka aku yakin ilmu-Nya Maha luas. Yang
pahit ini akan menjadi ubat. Yang pedih ini akan menjadi penawar. Ya, Allah
tingkatkanlah imanku bagi mendepani setiap ujian dari-Mu!”
*****************
'' Setiap yang berlaku ada hikmahnya & hanya Allah yang tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Yakinlah, janji Allah itu pasti. Setiap ujian yang diberikan sesuai dengan kemampuan hambaNya. Sebagai hamba, kita perlu usaha, doa , tawakal dan yakin dengan Dia yang Maha Esa... jangan pernah putus asa'' Blurpl3.
Selamat menjalani ibadah puasa yang bakal menjelma,
Blurpl3
No comments:
Post a Comment