BlurpL3 FOLLOWERS

Daisypath Anniversary tickers
Showing posts with label Islamic. Show all posts
Showing posts with label Islamic. Show all posts

Thursday, 19 June 2014

>> FYI : Jangan Sombong dengan Takdir

Assalamualaikum wbt.

Dah lama tak menulis blog. Setelah membaca artikel yang terbaru ni (entah dari mana sumbernya, sebab dah lama save suatu masa dulu), rasa terpanggil untuk kongsikan bersama kawan-kawan yang lain. Banyak manfaat yang boleh diperoleh jika difahami setiap maksud yang ditulis oleh penulis. Minta maaf tak dapat nak kredit penulisnya yang sebenar.. Apapun, penulisan beliau memang terbaik bagi pandangan Blurpl3.



*****************

Jika hendak dikirakan ’beriman’ dengan Allah, iblis laknatullah sepatutnya lebih tinggi imannya kepada Allah. Masakan tidak, dia pernah berdialog dengan Allah (dialog yang telah dirakamkan dalam Al Quran). Dia percaya kepada syurga dan neraka. Bukan sahaja percaya bahkan telah melihatnya. Syaitan yakin tentang adanya Hari Pembalasan..  Hendak diukur dari segi ibadah, ya ibadah iblis begitu hebat. Puluhan ribu tahun sujud, rukuk dan membesarkan Allah hingga terlantik sebagai ketua malaikat. Cuma satu… syaitan kecundang kerana tidak dapat menerima takdir Allah.

Takdir yang menentukan Adam dipilih menjadi Khalifah dan dia diperintahkan sujud lambang hormat kepada Allah dalam mentaati Allah. Syaitan tidak boleh menerima takdir ini.. Mengapa dia yang dijadikan daripada api (sedangkan Adam hanya daripada tanah), mengapa dia yang lebih ’senior’ dalam ibadah dan hirarki kepimpinan tidak terpilih menjadi khalifah, sedangkan Adam hanya ’pendatang’ baru yang diciptakan terkemudian?

Iblis sombong kerana tidak menerima ketentuan takdir. Dan dia terhina kerana itu. Lalu kita siapa yang mampu menidak dan meminggirkan takdir? Allah, itu Maha Besar, qudrat dan iradatnya tidak akan mampu kita nafikan. Jika cuba menafikan, kita akan terhina… seperti terhina iblis. Dilaknat dan dimasukkan ke neraka… kerana gugur sifat kehambaannya!

Dalam episod hidup, takdir datang menguji kita. Mengapa aku mendapat suami yang begini? Mengapa isteriku tidak sebegitu? Kenapa ketua ku orang semacam dia? Kenapa anak ku cacat? Mengapa isteri tersayang ku pergi dulu? Kenapa aku tidak kaya-kaya lagi walaupun telah berusaha. Bila masalah melanda kita merasakan kitalah yang paling menderita. Mengapa aku yang tertimpa nasib begini? Mulut berbicara mengaku Allah itu Tuhan kita tetapi mengapa kehendak-Nya kita tidak rela? Benarnya, masalah, ujian dan cabaran dalam hidup itu sangat berkaitan dengan iman.

Iman iblis hancur berderai bila diuji dengan takdir. Ego terpendamnya selama ini terserlah. Terbakar hangus seluruh ibadah yang dibinanya ribuan tahun. Aduh, bagaimana pula kita yang iman hanya setipis kulit bawang dan ibadah yang hanya sekelumit ini? Pujuklah hati, terima takdir itu dengan rela. Katakan,  ya Allah… sungguh sakit, sungguh perit, tapi apakan daya, aku hambaMu, Kau lebih tahu apa yang terbaik untukku berbanding diriku sendiri. Ya Allah, jangan Kau serahkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata. Tadbirku seluruh dan sepenuh sujud pada takdir MU.

Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari kita hamba-Nya. Kekadang takdir dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang kita inginkan terjadi. Namun acapkali takdir dan tadbir bersalahan, maka terjadilah apa yang kita tidak inginkan. Kita ingin putih, hitam pula yang menjelama. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula yang menimpa. Ketika itu hati akan bertanya, apa lagi yang tidak kena? Semuanya telah kutadbirkan, tetapi kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bunga ‘pemberontakan’ dari dalam diri hamba yang kerdil berdepan dengan Tuhan yang Perkasa. Samada disedari atau tanpa disedari…

Takdir daripada Allah mengandungi banyak hikmah. Ia mengandungi mehnah (didikan langsung dari Allah) yang kekadang tersembunyi daripada pengamatan fikiran biasa. Ilmu semata-mata tanpa iman yang kuat, akan menyebabkan kita terkapai-kapai dalam ujian hidup tanpa pedoman yang tepat. Justeru, dengan akal semata-mata kita tidak akan   dapat meringankan perasaan pada perkara-perkara yang tidak sejalan dengan diri dan kehendak kita. Mengapa terjadi begini? Sedangkan aku telah berusaha?

Untuk mengelakkan hal itu terjadi maka kita mesti berusaha mencari-cari hikmah-hikmah yang terkandung dalam ketentuan (takdir) Tuhan. Ya, hanya manusia yang sempurna akal (ilmu)  dan hati (iman) sahaja dapat menjangkau hikmah yang terkandung  di dalam cubaan dan bala yang menimpa durinya. Kata orang, hanya jauhari mengenal manikam.

Orang yang begini akan menjangkau hikmah di sebalik takdir. Dapat melihat sesuatu yang lebih tersirat di sebalik yang tersurat. Ya, mereka tidak akan beranggapan bahawa sifat lemah-lembut Allah lekang daripada segala bentuk takdir-Nya – samada yang kelihatan positif atau negatif pada pandangan manusia. Ertinya, mereka merasai bahawa apa jua takdir Allah adalah bermaksud baik. Jika sebaliknya, mereka merasakan bahawa Tuhan bermasud jahat dalam takdir-Nya, maka itu petanda penglihatan hati tidak jauh, dan akalnya pendek.

Mengapa terjadi  demikian? Sebab iman belum mantap, keyakinan masih lemah dan tidak kenal Allah dalam ertikata yang sebenarnya. Bila ketiga-tiga faktor itu sempurna, maka barulah seseorang itu mampu melihat bahawa di dalam cubaan dan bala yang ditakdirkan mengandungi hikmah-hikmah yang baik. Hanya dengan itu, seseorang itu akan merasa senang dan bahagia dalam menghadapi sebarang ujian dalam hidupnya.

Bagaimana kita dapat meringankan beban hati ketika menghadapi ujian hidup? Ya, hanya pertalian hati seorang hamba dengan Allah sahaja yang menyebakan ringannya ujian dan cubaan. Hati yang disinar dengan cahaya Allah dan cahaya sifat-sifat-Nya akan berhubung dengan Allah. Untuk meringankan kepedihan balayang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.

Bila kita kenal Allah Maha Pengasih dan Penyayang, kita tak boleh buruk sangka kepada Allah dengan menganggap apa yang ditakdirkan (ujian) itu adalah sesuatu yang tidak baik. Iktikad (yakin) kita semua ketentuan Allah itu adalah baik – ujian itu pasti ada muslihat yang tersembunyi untuk manusia, akan menyebabkan hati terubat. Walaupun pahit, ditelan jua. Sematkan di hati bahawa pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik tapi kita tidak atau belum mengetahuinya. Bila terjadi nanti, barulah kita tahu.

Katalah kita ditimpa penyakit atau kegagalan… itu mungkin pada hakikatnya baik pada suatu waktu nanti. Betapa ramai, mereka yang sakit, tetapi akhirnya mendapat pengajaran yang besar di sebalik kesakitannya. Contohnya, apa yang berlaku kepada Cat Steven… yang sakitnya itulah yang menyebabkan beliau mendapat hidayah dan akhirnya memeluk Islam? Dan betapa ramai pula yang gagal pada mulanya tetapi dengan kegagalan itu bangkit jiwa juang yang lebih kental yang akhirnya membuah kejayaan? Hingga dengan itu masyhurlah kata-kata bahawa kegagalan itu hakikatnya adalah kejayaan yang ditangguhkan!

Para ahli hikmah (bijaksana) merumuskan bahawa, antara hikmah ujian ialah, hati akan lebih tumpuan kepada Allah. Dengan ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan penghadapannya kepada Allah. Sebab bala dan ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan dan syahwat manusia, seperti sakit, rugi, miskin dan lain-lain. Dengan ini nafsu akan terdesak, tidak senang dan ingin lepas daripada ujian. Bila nafsu terdesak, ia akan terdidik secara langsung. Ia akan tertekan dan menjadi jinak. Hakikat ini akan membuka pintu rahmat Allah kerana nafsu yang liar sangat mengajak kepada kejahatan. Bila nafsu hilang kekuatannya maka manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa dan maksiat dengan mudah.

Hati, tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana yakin Qada dan Qadar Allah pasti berlaku. kerana manusia harus terima, tidak boleh menolak ujian itu. Hamba yang soleh menanggung Qadar dengan sabar (bahkan) gembira dengan pilihan Allah. (Ujian adalah pilihan Allah bukan pilihan manusia). Tidak ada pilihan Allah yang tidak baik. Semuanya baik belaka.Hakikat ini akan menyebabkan kita akan lebih mendekat kepada agama. Hikmah ini walaupun sebesar atom tetapi bila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Justeru, bila hati baik semua anggota badan menjadi baik. Inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:“…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” Surah Al Baqarah : 216

Sesungguhnya, dalam ujian Allah terselit nikmat-Nya. Mungkin kita tertanya-tanya apakah nikmatnya bila sakit, miskin, gagal, dihina dan sebagainya? Hendaklah kita faham bahawa nikmat di sisi Allah  itu terbahagi dua. Pertama, nikmat lahir. Dan kedua, nikmat batin (rohaniah). Nikmat lahiriah ialah sihat, selamat dan kebaikan fizikal yang lain. Manakala nikmat batiniah ialah nilai-nilai keimanan, keyakinan dan kesabaran. Dengan ujian kesusahan misalnya, barulah terbina sifat sabar. Dan sabar itu adalah separuh daripada keimanan.

Ujian juga akan menghapuskan dosa dan kesalahan seseorang terhadap Allah. Nabi Isa pernah berkata, ”belum dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.” Bila kita benci dengan ujian, ertinya belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dosa kita. Bila kita gembira (terima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga adalah Allah.

Jadi, apabila kita ditimpa ujian maka berusaha dan berikhtiarlah untuk menangani ujian itu tetapi jangan sesekali lupa mencungkil hikmahnya. Oleh yang demikian, apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Ingatlah, bahawa orang soleh itu bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.

Jangan sesekali kita menjadi orang yang rugi yakni mereka yang buta daripada melihat hikmah justeru akal dan hati hanya melihat sesuatu yang selari dengan hawa nafsunya sahaja. Ingatan para hamba yang soleh kepada Allah akan bertambah dengan ujian-ujianNya. Mereka merasakan ujian itu satu petanda yang Allah telah memilih mereka. Mereka sentiasa berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) bahawa setiap yang berlaku samada pahit atau manis pasti ada hikmahnya. Mereka tidak melihat hanya ’asbab’ (sebab-sebab) tetapi matahati mereka dapat menjangkau ’musabbabil asbab’ (Penyebab – Tuhan).


Hati mereka berkata:”Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untukku. Aku akan terus berbaik sangka kepada Allah… DIA akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik ujian ini. Ya, aku tidak tahu, kerana ilmuku terbatas. Tetapi kerana Allah yang Maha Penyayang telah memilih ujian ini untuk diriku maka aku yakin ilmu-Nya Maha luas. Yang pahit ini akan menjadi ubat. Yang pedih ini akan menjadi penawar. Ya, Allah tingkatkanlah imanku bagi mendepani setiap ujian dari-Mu!”

*****************


'' Setiap yang berlaku ada hikmahnya & hanya Allah yang tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Yakinlah, janji Allah itu pasti. Setiap ujian yang diberikan sesuai dengan kemampuan hambaNya. Sebagai hamba, kita perlu usaha, doa , tawakal dan yakin dengan Dia yang Maha Esa... jangan pernah putus asa'' Blurpl3.


Selamat menjalani ibadah puasa yang bakal menjelma, 
Blurpl3


Saturday, 15 March 2014

>> 10 Surah dalam Quran dapat mencegah 10 perkara

Assalamualaikum wbt.

Jom sama-sama kita amalkan surah-surah berikut:

  1. Surah AL-FATIHAH mencegah kemarahan Allah
  2. Surah YASIN mencegah kehausan di hari kiamat
  3. Surah AD-DUKHAN mencegah kesusahan di hari kiamat
  4. Surah AL-WAQIAH mencegah kefakiran
  5. Surah AL-MULK mencegah seksa kubur
  6. Surah AL-KAUTSAR mencegah permusuhan
  7. Surah AL-KAFIRUN mencegah kekufuran ketika dicabut roh
  8. Surah AL-IKHLAS mencegah kemunafikan
  9. Surah AL-FALAQ mencegah iri hati seseorang
  10. Surah AN-NAS mencegah was-was
"Apabila kau sibuk dengan duniamu, maka akhirat akan luput" (Sabda Nabi Muhammad saw)

Doa dari kejauhan,
Blurpl3

Monday, 13 January 2014

>> Review: Naufal Amsyar Sudah kenal Alif Ba Ta

Assalamualaikum wbt.

Apa khabar semua? Semoga sihat selalu hendaknya..

Blurpl3 nak share video si kecil comel, Naufal Amsyar
Yang sudah mula mengenal Alif Ba Ta, pada usia 5 bulan ++
Sekarang Naufal Amsyar dah berusia 1 tahun 2 bulan :-)

Alhamdulillah, sejuk mata hati tengok video ni..
Blurpl3 pun tengah berusaha keras memberi pendedahan awal kepada Naufal Amsyar mengenai huruf hijaiyah ni.
"Pintar al-quran, pintar semuanya". In shaa Allah

Rutin harian, setiap malam sekitar 1/2 jam atau 1 jam, Blurpl3 akan mengajar Alif Ba Ta kepada Naufal Amsyar. Menggunakan VCD AL-Furqan. Menarik! Sebabnya ada lagu-lagu dan huruf yang berwarna-warni bergerak-gerak. In shaa Allah, budak-budak akan suka. hehe.. Blurpl3 mula dedahkan VCD Al-Furqan ni seawal usia lepas pantang, kira-kira dalam 2 bulan juga la.

Alhamdulillah, seawal 5 bulan ++ Naufal Amsyar sudah pun  menunjukkan hasilnya. Semoga Allah berikan Ummi dan Abi kekuatan secara berterusan untuk mendidik anak-anak menjadi "Hafiz/Hafizah". Ameen Ya Rabb.

Bukan sekadar Alif Ba Ta saja, kadang-kadang Blurpl3 ajarkan ABC, 123, warna, haiwan dan bahagian anggota badan yang basic kepada Naufal Amsyar. Biarpun pada mulanya, tiada respon yang dberikan oleh anak kecil ni. Jangan kita sangka diorang tak faham.(Tetapi sebenarnya mereka simpan maklumat-maklumat tu dalam memori mereka). Ajarlah sebanyak mungkin perkara yang baik. Mudah-mudahan, mendapat keberkatan Allah.

Bak kata pepatah,
 "Melentur buluh biarlah daripada rebungnya"  dan "anak-anak ibarat kain putih, ibu bapa merekalah yang akan mencorakkannya samada menjadi nasrani, yahudi atau majusi"

sekali tengok macam tido tapi mata tak tutup rapat.hehehe.. (tido sambil dengar alif ba ta)

Let's take a look at this video :)






Ooppss..sorry, video ni terbalik skit (tak tahu nak alter mcm mana. hehehe...)


Bila tengok semula entry lepas.. teringat kembali kenangan bersalin, perkembangan dari kecil sampai la sekarang. Betapa cepat masa berlalu... :-)

- Saat bergelar Ummi dan Abi
-  Kronologi Kelahiran Anakku 
- Rentetan Jaundis
- 1 bulan
- 2 bulan
- 3 bulan 
- Meniarap
- 4 bulan
- 5 bulan
- Tekan Tubi Mini Exercise
- 6 bulan 
- Merangkak
- Berjalan
 - 1 tahun 


LOve from Copenhagen,
Blurpl3

Wednesday, 4 September 2013

>> Wordless : 7 Perkataan Mulia

Assalamualaikum wbt.

Jom kita amalkan bersama :)



Sharing is caring! Blurpl3

Friday, 9 August 2013

>> In-out : Salam Aidilfitri 2013_1434H


Assalamualaikum wbt.

Salam aidilfitri  2013/1434H. Minal aidil walfaizin buat semua daripada kami sekeluarga.
hati-hati ketika memandu walapunke mana saja.
jangan makan terlalu banyak, nanti sakit perut.hehe..
mohon maaf atas segala salahsilap yg ada..

Blurpl3

Wednesday, 17 July 2013

>> Wordless : Tips Bercakap dengan Anak

Assalamualaikum wbt.


Semoga info ini dapat membantu kita untuk berkomukasi secara berkesan dengan anak-anak.

Ikhlas, Blurpl3

Wednesday, 10 July 2013

>> In-out : Ramadhan Kareem 1434H

Assalamualaikum wbt.

Selamat berpuasa buat seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Hari ni, 1 Ramadhan 1434H bersamaan 10 Julai 2013. Pertama kali juga berpuasa sebagai seorang Ummi bersama Abi dan Naufal Amsyar. Alhamdulillah.. Syukur padaNya kerana masih dipertemukan lagi dengan bulan yang penuh dengan barakah serta magfirah.

Puasa kali ni juga merupakan puasa pertama bagiku yang fully breastfeed anak. Semoga Allah meringankan setiap urusan ibu-ibu yang breastfeed, ibu-ibu yang hamil dan para suami sekalian.

In shaa Allah, mudah-mudahan  kita semua diberi kekuatan & iltizam yang kuat untuk menambah saham akhirat. Jom sama-sama kita audit diri dan kejar nikmat bulan Ramadhan ni.

Marilah, kita sama-sama target untuk khatam Al-Quran dalam bulan puasa ni. In shaa Allah, mudah-mudahan terlaksana hajat ni. Ameen Ya Rabb

p/s: Tanyalah ustaz :
Perempuan hamil atau menyusukan anak jika berbuka kerana anak kena qada & membayar fidyah..jika berbuka kerana diri sendiri tak larat sangat atau dikhuatiri susu kering kena qada sahaja..







Ramadhan Kareem, Blurpl3

Friday, 5 July 2013

>> FYI : Hukum Meletakkan Patung Hiasan dan Lukisan Dalam Rumah

Assalamualaikum wbt.

Jom baca lebih lanjut artikel ini....




Meletakkan patung perhiasan dan lukisan di dalam rumah banyak dibahaskan oleh para ulama sama ada ianya haram atau dibenarkan. Berikut adalah jawapan berkaitan hukum meletakkan patung perhiasan dan lukisan di dalam rumah yang disiarkan di dalam Majalah Al-Ustaz penulisan oleh Dr. Hj. Zahazan Mohamed. Semoga ianya menjawab persoalan anda.

Patung Unsur Syirik

Apa hukum meletakkan patung perhiasan dalam rumah? Di rumah saudara saya terdapat banyak perhiasan dalaman berbentuk patung yang dibelinya dari luar negara yang dilawati sebagai kenangan.
Jawapan: Antara adab menghias rumah ialah tidak dibenarkan wujudnya unsur-unsur syirik seperti patung.
Bahkan Rasulullah pernah melarang hal ini dalam pesanannya kepada Aisyah dengan maksudnya :
“sesungguhnya malaikat tidak akan masuk ke rumah yang di dalamnya ada patung” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Patung Nabi Sulaiman

Namun menurut saudara saya itu, al-Quran sendiri membenarkannya sebagaimana patung-patung yang dibuat untuk Nabi Sulaiman
Jawapan: Berkaitan dengan patung yang terdapat dalam pemerintahan Nabi Sulaiman, ada baiknya jika kita bincangkan ayat berkenaan supaya terhindar silap faham.
Firman Allah mafhumnya : “Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki berupa bangunan-bangunan yang tinggi, tamathil (patung atau gambar) dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu kami perintahkan): ‘Beramallah kamu wahai keluarga Dawud untuk bersyukur!” Dan sememangnya sedikit sekali antara hamba-ku yang bersyukur.” (Surah Saba’: 13)

Tafsiran Ulama

  • 1 Memang benar patung ataupun gambar dibenarkan dalam syariat Nabi Sulaiman. Namun amalan ini diharamkan dalam syariat Nabi Muhammad s.a.w.
  • 2 Patung ataupun gambar yang dimaksudkan hanya merujuk kepada sesuatu yang tidak memiliki roh seperti pokok, laut dan pemandangan bukannya haiwan ataupun manusia

Tafsiran Pilihan

Dengan pentafsiran kedua ini, maka syariat Nabi Sulaiman menyamai syariat Nabi Muhammad s.a.w. Bahkan hal ini selari dengna realiti dakwah para nabi sejak zaman berzaman iaitu menghalang manusia daripada menyembah patung berhala.
Perhatikan ucapan Nabi Ibrahim yang dirakamkan dalam al-Quran :
“Ketika Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya : ‘Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?’” (Surah al-Anbiya’: 52)
Terdapat banyak hadis yang menekankan pengharaman gambar dan patung. Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya :
“Sesungguhnya orang yang paling berat seksaannya pada hari kiamat ialah orang yang membuat ukiran atau memahat patung ini.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sabda Baginda lagi dalam kesempatan lain yang bermaksud :
“Sesungguhnya para pelukis ini akan dikenakan azab pada akhirat. Lalu akan dikatakan kepada mereka: ‘Berikanlah nyawa pada apa yang kamu jadikan ini!” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Apabila ditanyakan kepada Ibn Abbas tentang gambar yang dilukis, beliau mengatakan bahawa di akhirat nanti Allah akan menyuruh sesiapa yang melukis gambar yang memiliki roh agar meniupkan nyawa kepada gambar itu, sedangkan dia tidak akan dapat melakukannya.
Lanjutan itu Ibn Abbas berkata:
“Jika kamu inginkan juga, maka lukislah gambar pokok atau apa jua yang tidak mempunyai roh”
Berpandukan penjelasan oleh Ibn Abbas ini, harus hukumnya perhiasan berbentuk lukisan ayat-ayat suci al-Quran, gambar pemandangan seperti laut, perkampungan, pohon di hutan, sungai dan benda yang tidak bernyawa.

Anak Patung

Bagaimana pula dengan hadis yang menyebut bahawa Aisyah, isteri Nabi pernah bermain dengan anak patung di dalam rumah tetapi Nabi tidak melarangnya?
Jawapan : Ya, hadis itu sahih riwayat Muslim. Apabila kita mengkaji lanjut tentang larangan membuat patung dan melukis gambar makhluk yang mempunyai roh, jelaslah kepada kita bahawa faktor larangannya kerana perkara ini dibimbangkan menjurus pada kesyirikan dan pemujaan serta usaha menandingi ciptaan Allah s.w.t.
Unsur ini tidak ada dalam patung permainan kanak-kanak. Menurut Muhammad Ali al-Sabuni dalam Rawa’i al-Bayan, patung-patung permainan anak-anak perempuan dibolehkan dalam Islam kerana permainan seperti ini boleh mengajar mereka cara mendidik anak-anak mereka kelak. Bahkan dalam hadis lain, Nabi membenarkan gambar atau lukisn pada bantal, selimut, tempat duduk atau pada tempat-tempat yang tidak dimuliakan.

Gambar Keluarga

bagaimana pula hukum meletakkan gambar keluarga di dinding rumah?
Jawapan : Hukum meletakkan gambar keluarga dalah harus dengan syarat :
  • 1 Tiada pendedahan aurat. Gambar akan menjadi tatapan umum para tetatu yang bukan mahram.
  • 2 Tiada unsur syirik. Contohnya gambar ahli keluarga yang masih kafir dengan perhiasan salib pada mereka. Jangan salah faham, gambar mereka itu sendiri tidak salah.

Beza Lukisan dan Gambar Foto

Kepada boleh berbeza hukum? Lukisan manusia haram tetapi gambar foto manusia pula dibolehkan?
Jawapan: Gambar yang diambil secara fotografi adalah harus kerana gambar itu dihasilkan dengan tujuan kenangan. Walhal lukisan pula bertujuan untuk menyamai atau menandingi ciptaan Allah s.w.t.
Kata Syeikh Muhammad Ali Sais dalam Tafsir Ayat al Ahkam :
“Pengharaman lukisan adalah kerana disebabkan seseorang pelukis itu berusaha mencipta suatu gambar yang menandingi ciptaan Allah s.w.t”
Hal ini berbeza dengan daripada gambar fotografi yang terhasil daripada tindak balas cahaya yang mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja. Walhal lukisan hanya mampu dilakukan oleh sesorang yang berkemahiran sahaja.

Wallahhu a’lam

Sumber : Majalah Al-Ustaz Isu 11


Sumber:  sini


Sharing is caring, Caring is loving, Blurpl3

Wednesday, 3 July 2013

>> Wordless : Cara-cara Mengenali Logo Halal Malaysia

Assalamualaikum wbt.

Berikut merupakan cara-cara mengenali logo HALAL Malaysia.






Mencari yang HALAL itu FARDHU, Blurpl3

Tuesday, 2 July 2013

>> In-out : Perkongsian Pengalaman Mereka


Assalamualaikum wbt.

Buat pasangann yang ingin mendirikan masjid. Boleh juga jadikan maklumat berikut sebagai panduan untuk kebaikan bersama...



Pictures credit to  Nadia Zahari Photography dan Artmosphere Photography 

Perkongsian pengalaman dari krew Nadia Zahari Photography dan Artmosphere Photography mengenai Majlis perkahwinan ustaz don daniyal


1. Majlis dibuat secara sederhana tetapi indah. Majlis dimulakan dengan selawat.

2. Husna memakai inai di pergelangan tangan sahaja iaitu bukan ditempat aurat, inai tidak berkekalan dan lukisan berbentuk bunga/tumbuhan tidak berbentuk haiwan atau menyerupai makhluk.

3. Make up Husna tidak tebal, Ustaz Don berkata dia berkahwin kerana diri Husna sendiri, dia tidak mahu melihat Husna menjadi orang lain dengan bermakeup tebal atau memakai bulu mata palsu.

4. Tiada inai di tiga jari Ustaz Don kerana inai di lelaki dipakai hanya untuk tujuan berubat sahaja.

5. Selepas ijab qabul nikah Ustaz Don meminta izin kedua pihak keluarga untuk Husna bersembahyang sunat bersamanya.

6. Sebelum menyarungkan cincin di jari Husna, Ustaz Don memegang bahagian depan kepala Husna sambil menyebut nama Allah dan mendoakan keberkatan baginya.

7. Tiada sesi bersanding atau merenjis, pelamin hanya untuk tempat mengambil gambar bersama family dan rakan.

8. Kesemua hantaran di kedua belah pihak berbentuk makanan. Pengantin ingin berkongsi kegembiraan dengan seluruh family ketika membuka hantaran. Tujuan ini juga adalah kerana pengantin tidak mahu hantaran al-Quran/kitab diletak sama level dengan hantaran kasut, baju dan lain-lain.

Credit to Sijehan.com


Yang baik jadikan ikutan, yang buruk eloklah ditinggalkan, Blurp3

Friday, 28 June 2013

>> Review : Promosi Dosa dalam Blog?

Assalamualaikum wbt.

Blurpl3 sekadar ingin berkongsi. Untuk kebaikan dan iktibar kita bersama.
************************************************************************************************************
Iman seseorang telah disepakat oleh para ulama boleh menaik dan menurun berdasarkan pelakuan di dalam kehidupan sehariannya. Jika dosa memenuhkan ruang kehidupannya dengan dosa, keimanan akan menurun, memberi kesan kepada seluruh amalan. Solat menjadi tidak khusyu' dan berat, demikian amalan kebaikan dirasa membosankan dan teramat menjemukan. Perasaan kesal dan rasa bersalah atas pelakuan dosa pula akan semakin pudar, hasilnya, keimanan di dalam hati menjadi semakin malap tanpa sinar.

Dosa dan pahala boleh bercambah dengan mudah, tanpa kawalan dan kesedaran sebaiknya, catatan amalan seseorang mungkin mengejutkannya di hari pembalasan kelak, sama ada disebabkan dosa yang di luar jangkaan atau timbunan pahala yang tidak disangka. Jika ia pahala, Alhamdulillah, namun bagaimana jika dosa yang memenuhi buku catatan amalan?.

Melalui artikel ini, sekadar ingin mengingatkan kita semua agar lebih peka terhadap salah satu punca percambahan dosa. Malah dosa yang kecil boleh berubah wajah kepada Kabair (dosa besar) akibatnya. Tujuan tulisan ini tidak lain agar kita semua dapat lebih berhati-hati terhadap dosa yang tidak disedari sedang dipromosi dan disebarkan.

FILEM, DRAMA DAN DOSA

Perlu kita semua fahami, manusia selain Rasulullah s.a.w tidak akan dapat lari dari dosa. Paling kurang dosa-dosa kecil. Sebagai contoh, dosa-dosa kecil amat mudah diperolehi apabila kita menonton televisyen sama ada melalui tontonan aurat lelaki wanita di dalam siri drama, filem iklan, hatta berita. Dosa kecil juga boleh berlaku apabila kerananya sekiranya seseorang itu melalaikan tanggungjawab agama yang lain dan pelbagai lagi kekurangan kerananya.

Telah dibincang panjang lebar oleh ulama Islam, TV dan filem adalah neutral, jika digunakan untuk tujuan kebaikan, maka pahala diperolehi, jika keburukan, dosa tentunya.

Sudah menjadi norma hari ini, hampir semua keluarga mempunyai TV walau setinggi manapun tahap keilmuan agamanya. Jika tiada TV, internet juga turut memasuki kebanyakan rumah umat Islam hari ini, segala jenis filem dapat ditontoni melaluinya.

Di ketika saya bersetuju dan tertarik dengan seruan para ilmuan dan pendakwah agar kita memboikot Yahudi Zionis dengan memboikot segala jenis hiburan melalaikan di televisyen atau internet, kerana itu adalah antara agenda penting mereka dalam merosakkan umat Islam. Namun begitu, sebahagian pendakwah ini mungkin terlupa menyedarkan, bahawa filem-filem dan drama yang biasanya ‘box office' karya Hollywood juga adalah karya hedonimse Barat dan Yahudi Zionis. Itu juga sepatutnya diboikot.

Namun, desakan nafsu dan Syaitan kerap mendorong sebahagian kita untuk terus melihat kisah-kisah paparan kreativiti karyawan Barat ini. Walau kita tahu ia bercampur baur adegan dosa ( berpelukan, bercium dan sebagainya) dan pemaparan aurat tentulah amat pasti.

DOSA KECIL YANG MEMBESAR DAN BERGANDA

Benar, secara umumnya, ia mungkin masih dianggap dosa-dosa kecil. Dosa kecil disebut oleh Nabi s.a.w boleh terhapus dengan solat fardhu, solat Jumaat, zikir, istighfar dan pelbagai amalan lain. Namun demikian, dosa kecil seperti itu boleh berganda sehingga adakalanya amalan seseorang tidak lagi mampu memadamkan keseluruhannya.

Bilakah itu?

Ia adalah apabila tontonan kita itu dikongsikan kepada orang lain melalui pendedahan kita sendiri sama ada di ketika bercerita berkenaannya, mungkin dalam ulasan kita. Atau lebih teruk lagi dipamerkan di FACEBOOK sebagai filem (movies) yang diminati, drama TV disukai, buku didambai, muzik dikagumi dan sebagainya.

Bagi saya, tindakan mengisi ruang itu dengan sebarang filem yang majoritinya mendedahkan aurat dan bercampur baur pengajarannya adalah sama seperti mempromosikannya, memberikan iklan percuma kepadanya, memaklumkan keredhaan kita terhadapnya.

Mungkin terkecuali jika kita menyiarkan minat kita terhadap movie pengajaran seperti Kung Fu Panda, Toy Stories, Cars, Omar Mukhtar atau dokumentari dan keagamaan seperti National Geographic, Discovery Channel, Berita, Al-Kuliyyah, Tanyalah Ustaz, Halaqah, Akademi al-Quran dan sebagainya.

Memaparkan minat kita rancangan TV atau Movie yang jelas bercampur aduk dosa dalam majoriti adegannya seperti ‘Desparate Housewives', ‘Friends', ‘Pretty Women', ‘Notting Hill', ‘Kuch Kuch Hota Hai', ‘HEROES' dan jutaan lagi filem sepertinya.

Walaupun seseorang itu memang meminati dan menontonnya, namun sedarilah tontonan itu mengakibatkan banyak dosa-dosa kecil. Tontontan itu tanda akibat kelemahan diri kita sehingga terjebak dalam dosa sebegitu.

Memaklumkannya kepada orang lain akan minat kita terhadap filem itu adalah dosa gandaan yang lain. Ia adalah sebuah promosi iklan secara percuma. Malah mendedahkan sokongan kita terhadap movie dan drama bermaksiat. Bukan sekadar movies sahaja malah hal yang sama terpakai buat promosi buku, novel, muzik dan public figure atau artis (khususnya di facebook).

Saya bimbang, keghairahan berkongsi segala-galanya di dalam facebook, blog dan forum akan tanpa sedar mempergandakan dosa seseorang.

Kecuali jika diyakini dengan ilmu dan iman bahawa pengajaran BAIK dari filem yang ingin dikongsi tersebut atau ditanda sebagai ‘like' itu MELEBIHI UNSUR DOSA DAN BURUK. Sebagaimana drama-drama bermesej islam, penuh pengajaran tetapi masih dilakonkan oleh pelakon mendedah aurat. Jika diyakini unsur positifnya melebihi dan negatif, tatkala itu mungkin wujudnya sedikit justifikasi untuk dipapar dan ditonjolkan dalam senarai drama diminati. Dengan niat agar orang lain turut mendapat pengajarannya.

Selain berkongsi minat terhadap hal yang disebut di atas, ada juga yang mendedahkan dosanya melalui gambar. Gambar seperti :

* ketika sedang minum arak,
* hadiri parti penuh maksiat,
* hadiri majlis dosa,
* sedang berpelukan lelaki wanita
* atau bersentuhan wanita dan lelaki yang bukan mahram (walaupun bagi seorang doktor kerana keperluan, tetapi gambar sedemikian PATUT disembunyikan)
* dan sebagainya,

Sekiranya semua yang disebut tadi dikongsi di facebook dan blog, kita bimbang individu terbabit tergolong di dalam kategori penyebar dosa dan pembuka aib diri sendiri. Nabi s.a.w memberi ingatan :-

كل أمتي معافى إلا المجاهرين، وإن من المجاهرة أن يعمل الرجل بالليل عملا، ثم يصبح وقد ستره الله عليه، فيقول: يا فلان عملت البارحة كذا وكذا، وقد بات يستره ربه، ويصبح يكشف ستر الله عليه

Ertinya : Setiap umatku (boleh) diampunkan kecuali mereka yang mendedahkan (dosanya), ada di kalangan yang mendedahakn ini , melakukan suatu dosa di waktu malam, berpagi-pagi sedang Allah menutup keaiban dosa itu, namun tiba-tiba dia mendedahkan seraya berkata :" Wahai fulan, semalam aku lakukan itu dan ini" maka terhapuslah tutupan Tuhannya dan jadilah ia membuka (rahmat) Allah yang menutup keaibannya.( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Justeru itu, jadikanlah dosa peribadi disebabkan menonton filem bercampur maksiat, atau menyukai musik hedonisme, ata melakukan maksiat secara fizikal kerana zina, curi, tidak solat dan sebagainya, sama ada kecil atau besar yang dilakukan di rumah, tersembunyi adalah antara individu terbabit dengan Allah SWT. Tujuannya agar seseorang itu beroleh rahmat Allah dan diberi hidayah untuk bertaubat sebelum maut menjelma. 

Mungkin disebabkan pendedahannya, apabila ia ingin atau telah bertaubat, sukar untuknya untuk memaklumkan kepada semua yang pernah mendengar atau mengetahui pendedahannya agar bertaubat sama, malah taubatnya juga mungkin diragui orang lain atau paling kurang, membawa masalah dalam hati seperti boleh menumbulkan riya' dan sum'ah.

Justeru jalan terbaik atas apa jua bentuk dosa yang telah atau pernah dilakukan adalah senyap dan sembunyikan. Ia bukan hipokrit ! tetapi ia dituntut oleh Allah dan RasulNya dan usahakan bertaubat. Hiprokrit adalah bagi mereka yang berpura-pura baik, tetapi dalam hal ini, si pelaku dosa hanyalah menyembunyikan dosanya. Tidak timbul persoalan dia cuba mengabui mata orang ramai dan berpura-pura baik. Rasulullah bersabda :

اجْتَنِبُوا هَذِهِ الْقَاذُورَةِ الَّتِي نَهَى الله عَنْهَا فَمَنْ أَلَمَّ فَلْيَسْتَتِرْ بِسَتْرِ الله وَلْيَتُبْ إِلَى الله. فَإِنَّهُ مَنْ يُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ عَلَيْهِ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ.

Ertinya : "Jauhilah perkara-perkara keji (maksiat) yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan (yang diberikan) Allah dan bertaubat kepada Allah SWT. Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla." [Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: "Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya." Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.]

Pengecualiannya hanyalah apabila kes melibatkan aib dan dosa ini diajukan di mahkamah untuk menangani sesuatu kes, atau ketika merujuk kepada kaunselor diyakini untuk membantu dan ilmuan Islam untuk mengetahui hukum dan kaedah pemulihan.

Allah itu maha pengampun dan sentiasa menginginkan kita bertaubat dan beristighfar, maka antara ciri taubat yang mudah diterima adalah apabila dosa tidak didedahkan. Di dalam sebuah lagi hadis sohih disebutkan :-

أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : يدني الله عبده المؤمن ، فيضع عليه كنفه ويستره ، فيقول : أتعرف ذنب كذا ؟ أتعرف ذنب كذا ؟ فيقول : نعم ، أي ربِّ ، حتى إذا قرره بذنوبه ، ورأى في نفسه أنه قد هلك ، قال : سترتها عليك في الدنيا ، وأنا أغفرها لك اليوم 

Ertinya : Nabi bersabda : (Di akhirat kelak) Allah akan menghampiri seorang hambanya yang mukmin lalu melindunginya lalu berkata : Adakah kamu tahu dosa kamu ini? Adakah kamu sedar akan dosa ini? Lalu jawab lelaki itu Ya Wahai Tuhan dan sehingga dia mengakui dosanya dan merasakan dia akan binasa (dihukum), Allah berkata : Aku telah menutupinya di dunia dahulu ( dari pengetahuan manusia), dan hari ini aku akan mengampunkannya ( Riwayat Al-Bukhari)

Jelas dari hadis di atas, dosa yang dilakukan dan tidak didedahkan berpeluang mendapat belas kasihan Allah di akhirat untuk diampuni. Namun bagi mereka yang telah lebih dahulu berbangga bercerita, mengiklan, promosi dan sebegainya sejak di dunia lagi, dibimbangi tidak cukup layak mendapat belas kasihan dan rahmat Allah serta pengampunannya.

KESIMPULAN

Segeralah memadam paparan minat dan keterlibatan terhadap apa jua aktiviti, tayangan, muzik, bacaan selain untuk Allah, Rasul dan apa yang mendekatkan diri kepada keredhaan Allah. Walau sebanyak, sedalam manapun minat, sejauh manapun keterlibatan, sembunyikan ia, bukan bertujuan untuk menipu manusia lain, tetapi agar dia tidak tergolong dalam kalangan berbangga dengan dosanya, mempromosi, membuka aib sendiri dan mengiklan kejahatan kepada orang lain.

Semaklah facebook anda, blog, website, forum dan sembangan harian agar tidak tersalah dan mempergandakan dosa.

Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net 

ORIGINAL ARTICLE : http://www.zaharuddin.net/content/view/937/72/

************************************************************************

Wallahualam.

Berkongsi bersama, Blurpl3

Thursday, 27 June 2013

>> FYI : Ciri-Ciri Isteri Derhaka Menurut Rasullullah

Assalamualaikum wbt. 

Kita jangan keliru, apabila wanita disebut sebagai isteri, bukanlah untuk merendahkan taraf wanita itu. Ia adalah sebagai suatu jaminan hak supaya mereka itu dipelihara, dilindungi dan dibela dengan baik oleh suami.


Seorang isteri tentulah mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suami. Tanggungjawab ini adalah suatu perkara yang serius dan tidak boleh diabai-abaikan. Isteri yang mengabaikannya senang mendapat laknat dan dikhuatiri termasuk ke dalam kategori isteri derhaka.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah Radhiallahu Anha bermaksud:

“Aku pernah bertanya kepada Baginda: “Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri ?” Baginda menjawab: “Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya”.
Kemudian aku bertanya lagi :
 “Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?” Baginda menjawab:” Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya."
(Riwayat Bazar dan al-Hakim)

Dalam sebuah hadis yang lain pula Baginda bersabda bermaksud:

“Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya.”
(Riwayat Tirmizi dab Ibnu Hibban)

Jika ada para isteri yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada suami dengan sebaik-baiknya, dan menganggap tanggungjawab terhadap suami itu hanya membebankan dan menyusahkan dirinya, maka isteri yang sedemikian itu dikhuatiri termasuk di dalam kategori isteri yang menderhaka atau nusyuz.

Apakah ciri atau tanda isteri yang derhaka itu? Ini perlu diketahui semata-mata untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar daripadanya.

Berikut diketengahkan antara ciri atau tanda isteri derhaka:

1. Tidak mensyukuri kebaikan yang dilakukan suami 


Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bermaksud:

“Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita."
Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam ditanya: “Mengapa demikian ya Rasulullah?”

Baginda menjawab:

  “Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup.”
(Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda bermaksud:

“Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita.” Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?” Baginda menjawab : “Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya.”
(Riwayat Muslim)

Ibnu Asakir pula menyebut:

“Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya.”

2. Menyakiti hati suami 

Isteri yang suka menyakiti hati suami akan menerima balasan buruk sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

”Seorang wanita menyakiti suaminya, maka isterinya yang bidadari itu berkata: Janganlah kamu menyakitinya semoga Allah mengutukmu, kerana dia (suami) itu disampingmu hanyalah sebagai orang asing yang akan berpisah denganmu menuju kami.”
(Riwayat Ibnu Majah)

3. Puasa sunat tanpa keizinan suami 

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

“Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Keluar rumah tanpa izin suami 

“Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali.”
(Diriwayatkan oleh Thabarani di dalam al-Awsat)

5. Meminta cerai daripada suami 

Sabda Rasulallah sallallahu Alaihi Wasallam bermaksud:

“Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syara haram baginya bau syurga.”
(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

6. Isteri yang tidak menunaikan hajat suami 

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

“Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikian sebahagian daripada ciri-ciri atau tanda isteri derhaka dan balasan buruk yang akan diterima di akhirat nanti. Semoga ianya akan memberikan manfaat dan kesedaran bagi kita semua, khususnya kaum isteri.

Sumber : (sini) 

Wallahualam.

Peringatan bersama, Blurpl3

Wednesday, 26 June 2013

Friday, 21 June 2013

>> Review : Nama-Nama Bayi Islam Yang Baik, Buruk Dan Melucukan

Assalamualaikum wbt.
Kebiasaannya, sebelum seseorang anak lahir ke dunia, ibu dan bapa sudah berkira-kira untuk mencari nama yang sesuai untuk anak yang tersayang.
Mencari nama yang baik bukan untuk mendapat pujian.
Atau untuk melambangkan status sosial dan seumpamanya.
Tetapi ia adalah satu ibadah yang dituntut oleh agama.
Abu Dawud telah meriwayatkan dari Abu Darda' RA. katanya, Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu pada Hari Kiamat, maka perelokkanlah nama-nama kamu."
Memperelokkan nama bermaksud memilih nama yang selari dengan tuntutan Islam.
Memilih nama perlu ada tujuan.
Bukan sekadar untuk memudahkan panggil atau untuk menggabungkan nama ibu dan bapa serta datuk-datuk dan nenek-nenek, bahkan ia berkaitan dengan soal pembentukan peribadi anak itu.
Bukankah panggilan itu mengandungi doa?
Setiap orang yang memangilnya, dikira membuat doa untuknya.
Jika seorang anak itu namanya 'Mujahid' yang bermaksud seorang pejuang atau orang yang berjihad, setiap orang akan memanggilnya dengan gelaran pejuang.
Secara tidak langsung dia didoakan untuk menjadi pejuang pada jalan Allah SWT.
Sebaliknya jika seorang itu dinamakan dengan nama 'Hazan' yang bermaksud berdukacita, setiap orang akan memanggilnya sebagai seorang yang sedang sedih dan berdukacita.
Secara tidak langsung pangilan demi panggilan itu boleh memberikan kesan kepadanya.
Nama Yang Tidak Baik
Malangnya hari ini, terdapat segelintir masyarakat yang kurang mengambil berat soal nama. Ada yang memilih nama yang kelihatan indah tetapi hakikatnya tidak mempunyai apa-apa erti, atau lebih malang lagi ia membawa erti yang negatif.
Mereka suka nama-nama yang nampak moden seperti Natasya, Zana, Susan, Hyfa, Dayanty atau seumpamanya.
Lebih menyedihkan lagi, jika nama-nama itu ditiru atau diambil nama-nama orang kafir.
Ada juga yang menggabung jalin nama ibu dan bapa.
Mereka lakukan tanpa mengambil kira maksud gabungan perkataan itu .
Contohnya, ibu yang bernama Safrina dan bapa bernama Ihsan, anaknya diberi nama Safih Insan, yang bermakna 'Manusia yang Bodoh'.
Kadang-kadang nama yang digabungkan itu menjadi panjang tanpa sebarang erti seperti Nor Sajamifulah Niruszam atau seumpamanya.
Terdapat dikalangan ibu bapa yang cuba memberikan nama yang baik tetapi mereka tersilap langkah, contohnya meletakkan perkataan Abdul atau lebih tepatnya 'Abd yang membawa maksud Hamba dengan perkataan lain selain nama-nama Allah seperti Abdul Muhammad, dan Abdul Musa.
Ada juga yang silap dengan hanya meletakkan perkataan Abdul untuk anaknya.
Jika mahu ringkas mereka sebenarnya boleh menggunakan nama Abduh yang bermaksud Hamba-Nya.
Kadang-kadang terdapat ibu bapa yang mahu menggunakan kreativiti dengan menamakan anaknya sempena sesuatu peristiwa atau tempat sehingga menjadi janggal seperti Mohd Felda, Nor Malaysia, Saiful Johori, Mohd Toyota, Siti Sukom dan seumpamanya.
Mereka sebenarnya menjadikan anak-anak mereka mangsa ejekan sepanjang hayat.
Jika bapa tersilap memilih nama, maka sewajarnya dia berusaha agar nama itu ditukar kepada nama yang lain.
Rasulullah SAW pernah bertindak menukar nama seseorang dengan nama yang lebih baik.
Al-Termizi dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Ibnu Umar RA bahawa Sayyidina Umar bin Al-Khattab RA mempunyai seorang anak perempuan namanya 'Aashiah (Penderhaka), maka Rasulullah SAW menukarkan namanya menjadi Jamilah (Yang Cantik).
Sebaik-baiknya para bapa merujuk kepada para ilmuan atau sekurang-kurangnya membelek buku-buku panduan sebelum memilih nama yang sesuai untuk anak.
Ingatlah bahawa nama itu adalah identiti terpenting bagi seseorang manusia.
Kesan pemberian nama itu bukan terhenti setakat di dunia sahaja bahkan melarat sehingga ke akhirat.
Oleh itu, menjadi kemestian kepada para bapa untuk memilih nama yang baik-baik.
Nama Yang Baik
Rasullullah SAW menganjurkan agar anak-anak dinamakan dengan nama-nama yang mempunyai maksud baik atau dinisbahkan kepada orang yang baik.
Bapa-bapa boleh memilih nama-nama Rasul seperti Hud, Nuh, Ilyasak dan lain-lain; atau nama para sahabat seperti Mus'ab, Mu'az, Talhah, Zubair, Handzalah dan lain-lain; atau nama para 'ulama' seperti As Syafie, Al Bukhari, As Subki, Al Andalusi, Al Tabari, Al Nakhai'i, Al Zamakhsyari, Ibnu Qayyim, Ibn Taimiyyah, Al 'Izz dan lain-lain.
Mudah-mudahan anak itu, dapat menghayati kehebatan tokoh-tokoh silam lantas menjadikannya sebagai ikutan.
Antara nama yang afdhal ialah nama yang dinisbahkan kepada nama Allah, tetapi dimulai dengan kalimah 'Abd.
Nama-nama Abdullah, Abdul Quddus, Abdul Jabbar, Abdul Qahhar, Abdul Fattah, Abdul Mu'izz dan lain-lain adalah contoh bagi kategori ini.
Di samping itu para bapa digalakkan memilih nama-nama yang mempunyai nama indah dan seboleh-bolehnya tepat dengan nahu Arab.
Contohnya nama Saif bermakna pedang, tetapi nama Saiful tidak mempunyai apa-apa makna kecuali jika disandarkan kepada perkataan lain seperti Saiful Islam yang bermaksud Pedang Islam.
Sebaik-baiknya juga nama yang dipilih itu menepati kesesuaian jantinanya.
Kesimpulannya, ibu bapa yang akan menyambut bayi perlu membuat persediaan awal sebelum tiba masa kelahiran.
Persediaan seperti, membanyakkan bacaan al-Quran, berzikir dan bertafakur serta mencari nama yang sesuai untuk anak perlu diutamakan.
Sebagai pendidik, ibu dan bapa tidak boleh mengambil lewa soal-soal ini.
Ingatlah, apa yang disemai hari ini, itulah yang akan dituai esok hari.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...