BlurpL3 FOLLOWERS

Daisypath Anniversary tickers

Saturday 20 June 2015

In-Out >> Puasa 21 jam?

Assalamualaikum wbt.

Apa khabar semua? Sudah agak lama blog ni bersawang tanpa sebarang update terkini. Hampir setahun rasanya. Mr&Mrs Blurpl3 agak sibuk sejak kebelakangan ni ditambah pula dengan kehadiran insan baru, kekangan masa sebagai seorang ummi kepada 2 org anak, sebagai doctoral student, sebagai isteri etc.

Namun, jauh di sudut hati masih teringin untuk menulis blog lagi. Thesis pun kena tulis. Publication pun kena tulis juga. Oh idea! Silalah datang mencurah-curah :) Doakan ya!

Berbalik kepada topik kita kali ni; PUASA 21 JAM? 

Eh! Iya ke? Biar betul? Boleh tahan ke? Lamanya, Masya Allah! Kesian... 

Mungkin ini yang akan terlintas di fikiran kita apabila ternampak statement ni. 




Macam mana terjadinya puasa 21 jam ni? Menurut kajian seorang sahabat, fenomena puasa lebih 20 jam ni berlaku dalam tempoh setiap 33 tahun. Tahun ni merupakan tahun ke-30. 


Alhamdulillah, kami diberi peluang untuk merasa berpuasa dalam tempoh terpanjang ni. Tahun ni merupakan tahun ke-2 kami sekeluarga berpuasa dan in shaa Allah beraya di negara Scandinavia. Tempoh berpuasa agak panjang disebabkan oleh sekarang ialah musim panas (summer), yang mana waktu siang lebih panjang dan waktu malam lebih singkat. Waktu berbuka pada pukul 10 malam dan waktu subuh 2.26 pagi. Hanya ada lebih kurang 3-4 jam saja untuk makan dan minum, solat maghrib, bertadarus, berterawih, solat tahajjud dan bersahur, etc. Namun masa yang ada dimanfaatkan sebaik mungkin secara istiqomah dalam mencari keredhaanNya, in shaa Allah.

Itulah cabaran hidup di sini. Masuk waktu berbuka dalam pukul 10.00malam dan seterusnya perlu bersahur walaupun perut masih kenyang sebelum masuk waktu subuh pada pukul 2.30pagi ke 3.00pagi bagi memastikan badan cukup tenaga untuk meneruskan puasa keesokkan harinya.

Teringat tahun lepas kali pertama berpuasa disini. Hari pertama berpuasasangat memeritkan untuk menunggu waktu berbuka. Kerana dek waktu puasa yang panjang, pening kepala yang teruk datang tanpa diduga. Ini mungkin perkara biasa jika kali pertama berpuasa untuk jangka masa yang panjang kerana sahabat kami di sini juga pernah mengalami perkara yang sama. Terpaksa digagahi juga berpuasa.

Alhamdulillah setelah seminggu berpuasa, badan dapat membiasakan diri berpuasa dalam keadaan masa yang panjang. Bak kata pepatah. Ala bisa tegal biasa.

Cabaran lain berpuasa disini ialah bulan puasa jatuh pada musim panas. Cabaranya bukanlah suhu kerana suhu disini ketika musim panas hanyalah sekitar 16 ke 20 deg celcius sahaja semacam suhu penghawa dingin di Malaysia. Cabaran sebenar ialah kebanyakkan penduduk negara ini mula memakai pakaian yang senteng dan kurang kain. Mereka juga suka berjemur di tengah-tengah kawasan lapang seperti di taman-taman bunga, hadapan atau belakang perumahan yang lapang hanya dengan memakai coli dan seluar dalam. Kadang-kadang coli pun tidak dipakainya.

Disebabkan waktu yang pendek selepas berbuka, tiada masa untuk kami tidur. Kalau tidur pun hanya sekadar tidur-tidur ayam. Takut terlepas sahur dan solat subuh. Kami hanya akan tidur samada sebelum berbuka dan/atau selepas bersahur. Waktu isyak masuk menghampiri pukul 12.00 tengah malam. Selepas itu kami akan mengerjakan terawih. Selepas terawih sahaja sudah kena bersedia untuk bersahur.

Satu pengalaman yang berharga menunaikan terawih disini terutamanya di masjid. Pengalaman tahun lepas berkayuh basikal ke masjid merupakan pengalaman yang sangat berharga. Di dalam kegelapan malam berkayuh seorang diri, tiada sedikitpun rasa takut menyelubungi diri. Itulah kelebihan tinggal antara negara yang paling aman dan selamat di dunia.

Sangat mengujakan solat terawih di masjid kerana walaupun kami bersolat hampir ditengah-tengah keheningan malam, amat mengejutkan kerana kedatangan ke masjid hampir penuh seperti solat jumaat dengan dihadiri umat islam yang datang dari pelbagai pelusuk dunia yang sudah lama menetap di sini.

Pengalaman yang sangat menarik berpuasa di bumi asing ini menjadikan kami mengenal erti berpuasa yang sebenar. Semoga dengan berpuasanya kami dalam jangka waktu yang panjang tidak mengurangkan produktiviti dalam beribadah dan bekerja. Amin...


Salam Ramadhan buat semua. Minta maaf atas segala salah silap sebelum ni, sengaja atau tidak.. Semoga Ramadhan kali ni lebih baik drpd sebelumnya, in shaa Allah. Harap ini bukan Ramadhan terakhir.

p/s: Rindu untuk bersahur dan berbuka dengan ahli keluarga. Makan masakan mak, memang terbaik!!


Ramadhan Kareem 1436H/2015,
Mr&Mrs Blurpl3











Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...